Rabu, 27 Maret 2013

Bencana Alam


PENGURUSAN BENCANA ALAM DAN KESANNYA KEPADA PEMBANGUNAN SOSIAL



Masyarakat tidak sepatutnya terlalu alpa dengan keamanan dan kestabilan negara. Bencana tsunami yang melanda kawasan Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 telah memberi pelbagai pengajaran dan pengalaman pahit kepada negara-negara yang terlibat. Seluruh dunia amat terkejut dengan kesan ombak maut ini yang bukan sahaja telah mengakibatkan banyak kematian tetapi juga memusnahkan bandar, pekan dan kampung serta mempunyai implikasi sosial yang begitu dahsyat terhadap mangsa, keluarga, masyarakat dan negara. Dilaporkan lebih 250,000 orang telah terkorban, ribuan lagi masih hilang dan ramai yang cedera serta tersentak dengan kepiluan dan kesedihan. Dianggarkan lebih lima juta orang telah kehilangan tempat tinggal dan rumah kediaman di Indodonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, Filipina dan negara-negara kecil di Lautan Hindi. Kesan daripadanya ialah kelaparan dan penyakit berjangkit telah mula menular di kawasan-kawasan yang dilanda malapetaka tersebut.

Satu pengajaran yang kita semua boleh pelajari adalah persiapan serta cara terbaik untuk menyediakan diri sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana. Apa yang kita dapat lihat ialah semasa ombak tsunami mengganas, banyak negara tidak menjangka dan jelas tidak bersedia menghadapi bencana tersebut. Hal ini telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan berbilion harta benda musnah sama sekali. Kehilangan nyawa yang begitu ramai dan kemusnahan harta benda yang begitu banyak dalam sejarah akibat bencana sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita lebih bersedia menghadapi kejadian ini dengan efisyen dan efektif bukan secara piece-meal dan ad-hoc semata-mata.

Malaysia adalah antara 11 buah negara yang turut terlibat dengan bencana tsunami pada kadar kematian lebih kurang 68 orang dan 40 orang lagi masih dilaporkan hilang. Kita kini sedang menghadapi cabaran baru untuk menangani kesan terhadap mangsa, keluarga dan komuniti yang terlibat dari segi mental, fizikal, psikologikal, sosial dan ekonomi.

Kejadian banjir besar yang berlaku di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sejak Disember 2006 hingga Januari 2007 yang lalu telah juga melibatkan kemusnahan yang teruk. Infrastruktur, harta benda, ternakan dan tanaman pertanian mengalami pelbagai jenis kerosakan yang kekal. Tidak dapat disangkal lagi, bencana yang dialami memberi kesan yang buruk terhadap masyarakat dan menjejaskan pembangunan sosial negara.

Di antara cabaran hebat yang perlu dihadapi untuk menangani bencana alam adalah amaran awal, persediaan, usaha menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula. Usaha mengurangkan (mitigating efforts) perlu diberi tumpuan agar kesan langsung, jangka sederhana dan jangka panjang bencana dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Pengurusan bencana secara sistematik dapat membantu agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan merencanakan persediaan mereka secara profesional. Di negara-negara Barat, terdapat pelbagai jenis agensi yang aktif menawarkan program pencegahan dan panduan bagi menghadapi bencana alam yang tidak sahaja berkisar tentang banjir malah tanah runtuh, gempa bumi, kebakaran dan alam sekitar.

Di Malaysia, kita harus melihat pengurusan bencana sebagai satu bentuk disiplin yang wajar diberi perhatian. Pada peringkat awal, maklumat dan panduan boleh disebarkan seluas-luasnya kepada orang ramai tentang cara terbaik untuk bertindak apabila menghadapi bencana alam. Kempen ini boleh dilaksanakan melalui sekolah dan media massa secara berterusan dari semasa ke semasa. Seminar, bengkel dan forum dapat dirancang bagi membincangkan pengurusan krisis bencana alam dari segi usaha bantuan, menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula (relief efforts, rescue, recovery, reconstruction and rehabilitation). Di samping itu, diketengahkan juga kesan-kesan sosial seperti mengurangkan kemusnahan dan kadar kematian (mortality) serta penyakit (morbidity) akibat bencana alam yang berlaku ini.

Sistem pengurusan bencana yang teratur merupakan teras kepada pemulihan emosi dan jiwa mangsa-mangsanya. Usaha mengumpul dana bantuan yang sering dilakukan sekarang perlu dipusatkan dan tidak perlu terlalu banyak karenah birokrasi apabila mangsa-mangsa yang terlibat memohon untuk mendapatkannya. Kesan terlalu banyak sekatan dan kesukaran mendapatkan bantuan daripada tabung seperti ini telah menggerakkan pihak swasta khususnya badan penyiaran swasta dan media cetak untuk mengadakan tabung bantuan mereka sendiri yang sentiasa mendapat sambutan berbanding yang dianjurkan oleh pihak kerajaan kerana maklumat yang cepat dan kemudahcapaian kepada tabung berkenaan.

Bagi menggerakkan peranan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta bersama-sama berganding bahu memperkasa sistem pengurusan bencana alam di Malaysia, persidangan peringkat kebangsaan untuk menguruskan bencana alam ini dapat membantu mewujudkan jaringan pelbagai hala supaya setiap pihak akan lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan. Maklumat daripada persidangan ini boleh dibukukan dalam bentuk prosiding yang lengkap dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Bencana Alam Negara bagi tindakan susulan.

Haluan Malaysia sedia bersama-sama dengan pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai membantu meringankan beban mangsa-mangsa bencana supaya pembangunan masyarakat tidak terjejas di samping menyumbang kepada pengurusan bencana alam yang profesional di Malaysia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar